Sindiket edar dadah MDMA ke pusat hiburan di Pulau Pinang tumpas

Hamzah (tengah) menunjukkan dadah jenis MDMA yang dirampas pada Selasa.
Hamzah (tengah) menunjukkan dadah jenis MDMA yang dirampas pada Selasa.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang menyasarkan pusat hiburan di sekitar Pulau Pinang menerusi beberapa serbuan yang dilakukan di George Town pada Selasa.

Dalam serbuan itu, polis merampas serbuk dadah jenis MDMA seberat 37 kilogram dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM6.3 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, operasi khas itu dijalankan bermula petang Selasa hingga awal pagi Rabu.

Menurutnya, lima individu berusia antara 33 hingga 41 tahun ditahan dalam serbuan terbabit.

“Tangkapan ke atas suspek membawa kepada penemuan sebuah kereta yang diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan awam dan digunakan sebagai lokasi penyimpanan dadah.

“Sebanyak 700 bungkusan berisi serbuk dadah MDMA berjaya dirampas, dipercayai telah sedia untuk diedarkan ke pusat-pusat hiburan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, di sini, pada Rabu.

Polis merampas serbuk dadah jenis MDMA seberat 37 kilogram dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM6.3 juta.
Polis merampas serbuk dadah jenis MDMA seberat 37 kilogram dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM6.3 juta.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata dadah jenis itu dipercayai banyak digunakan di pusat hiburan dan sindiket terbabit dikesan aktif sejak awal tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam operasi sama, beliau berkata polis turut merampas tujuh buah kenderaan, barang kemas serta wang tunai bernilai lebih RM300,000.

“Siasatan mendapati kesemua suspek positif dadah dan salah seorang daripada mereka mempunyai 16 rekod jenayah lampau,” katanya lagi.

Kelima-lima suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 27 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!