Himpunan Melayu Berdaulat: Polis laksana kawalan, tempatkan anggota

SHAH ALAM – Polis akan menjalankan kawalan serta menempatkan anggota bertugas sekitar Himpunan Melayu Berdaulat yang dijadualkan berlangsung di ibu kota pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, hasil perbincangan sebelum ini mendapati pihak penganjur tetap meneruskan himpunan berkenaan.
“Susulan itu, kita akan menempatkan anggota untuk melakukan kawalan yang munasabah di sekitar lokasi himpunan.
“Seramai 80 pegawai dan anggota akan ditugaskan untuk membuat pemantauan di sekitar lokasi perhimpunan berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau turut menyatakan bahawa pihaknya mengambil maklum berhubung penganjuran himpunan berkenaan ketika ditanya sama ada perhimpunan itu diberikan kebenaran atau sebaliknya.
Himpunan Melayu Berdaulat yang dianjurkan oleh gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) difahamkan diadakan bagi menyuarakan isu-isu berkaitan kepentingan orang Melayu dan umat Islam, termasuk bantahan terhadap cadangan Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar serta isu tanah rizab Melayu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa perbincangan masih berjalan antara pihak polis dan penganjur himpunan terbabit, merangkumi cadangan lokasi alternatif bagi memastikan keselamatan awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!