Tiada unsur 3R dikesan dalam Himpunan Melayu Berdaulat – Polis

KUALA LUMPUR – Tiada unsur 3R membabitkan raja, agama dan kaum dikesan dalam Himpunan Melayu Berdaulat yang berlangsung di hadapan sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, setakat ini tiada kandungan ucapan penceramah dalam program tersebut yang berkait dengan isu 3R.
“Tiada isu 3R dibangkitkan. Ucapan lebih tertumpu kepada isu berkaitan masyarakat Melayu.
“Bagaimanapun, siasatan akan dijalankan sekiranya terdapat laporan polis diterima,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, himpunan tersebut dihadiri kira-kira 800 peserta dan berjalan dengan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
“Seramai 80 anggota polis ditugaskan untuk memantau keselamatan sepanjang perhimpunan berlangsung. Tiada sebarang insiden direkodkan,” ujarnya.
Tambah beliau, pihak polis akan meneliti terlebih dahulu sama ada siasatan lanjut terhadap penganjur himpunan itu perlu dijalankan atau sebaliknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!