Pembela gabungan 120 NGO Islam sokong Himpunan Melayu Berdaulat

Pengerusi Pembela, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
Pengerusi Pembela, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) yang merupakan gabungan 120 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Malaysia menyokong penuh Himpunan Melayu Berdaulat yang diadakan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Pengerusi Pembela, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, himpunan itu sebagai salah satu mekanisme sah dan demokratik untuk orang Melayu menyuarakan hak yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, ia bukan bertujuan menimbulkan kebencian kepada mana-mana golongan kerana hak yang dituntut dan dibela adalah berdasarkan undang-undang tertinggi negara.

"Himpunan aman berobjektif menyuarakan pandangan orang Melayu Islam secara sah dan bertanggungjawab dalam menuntut keadilan, mempertahankan hak dalam Perlembagaan Persekutuan serta menyatukan rakyat Malaysia demi keamanan dan kedaulatan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Zainul Rijal turut menyeru semua pihak yang menyertai himpunan tersebut supaya mengekalkan keamanan, menjaga akhlak serta mengutamakan adab dan ketertiban sepanjang himpunan tersebut.

"Walaupun terdapat orang politik sama ada dari pihak kerajaan ataupun pembangkang dalam himpunan ini, ia tidak menjadikan himpunan tersebut bersifat pro-politik kepartian kerana isu-isu berkaitan Melayu dan Islam melangkaui sempadan politik kepartian," katanya.

Zainul Rijal menambah, sudah sampai masanya NGO Islam menggarap prinsip keadilan dan kesaksamaan mengatasi kepentingan politik, demi menjaga agama, bangsa dan negara.

"Sebagai kaum majoriti di dalam negara ini, orang Melayu Islam mempunyai hak, keistimewaan, maruah dan kehendak yang dibenarkan oleh undang-undang di samping tidak mendiskriminasi kaum minoriti.

"Hak keistimewaan, maruah dan kehendak ini perlu dihormati oleh mana-mana orang, badan atau organisasi yang memegang tampuk pemerintahan.

"Kegagalan menghormati perkara-perkara tersebut akan menyebabkan sokongan orang Melayu akan berkurangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!