Jemaah haji dinasihat sentiasa guna payung

BAGI memastikan keselesaan dan keselamatan jemaah terjamin sepanjang berada di Tanah Suci, Kementerian Kesihatan Arab Saudi melancarkan kit kesedaran kesihatan dalam lapan bahasa utama menjelang musim haji ini.
Ia bertujuan untuk mendidik dan melindungi para jemaah daripada sebarang risiko kesihatan yang mungkin timbul.
Memetik portal berita berpengaruh di Arab Saudi, Arab News, kit itu antara lain memuatkan panduan dan bahan maklumat kesihatan dalam bahasa Arab, Inggeris, Perancis, Urdu, Parsi, Indonesia, Melayu serta Turkiye.
Apa yang menariknya, ia bukan sekadar helaian bercetak, tetapi kandungan kit itu turut merangkumi video, hantaran media sosial dan bahan visual yang mudah difahami jemaah dari pelbagai latar belakang bahasa dan budaya.
“Pendekatan pelbagai bahasa ini bertujuan untuk menjangkau sebanyak mungkin jemaah yang datang dari pelbagai negara di seluruh dunia,” kata portal tersebut memetik laporan The Saudi Press Agency (SPA) baru-baru ini.
Laporan sama menyebut, antara tumpuan utama yang diketengahkan dalam kit tersebut ialah langkah-langkah pencegahan keletihan haba yang sering menjadi cabaran utama buat jemaah ketika menjalani ibadah di bawah terik mentari Arab Saudi.
“Jemaah disarankan menggunakan payung bagi mengurangkan pendedahan terus kepada cahaya matahari dan memastikan diri sentiasa terhidrat.
“Di samping itu, jemaah juga dinasihatkan agar memastikan mereka telah menerima vaksin meningococcal meningitis, Covid-19, poliomielitis dan demam kuning mengikut negara masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, kementerian tersebut turut menggalakkan jemaah supaya mengemas kini vaksin bagi beberapa penyakit lain yang berisiko berjangkit dalam kawasan berkepadatan tinggi seperti ketika ibadah haji.
“Kepada jemaah yang menghidap penyakit kronik, kementerian itu menasihatkan supaya membawa dokumen yang menyatakan keadaan mereka dan bekalan ubat mencukupi dalam bungkusan asal,” pesan Kementerian Kesihatan Arab Saudi.
Tidak cukup sekadar vaksinasi asas, jemaah juga disyorkan untuk mengemas kini vaksin bagi beberapa penyakit lain yang berisiko berjangkit dalam kawasan berkepadatan tinggi ketika ibadah haji.
Sebagai contoh, vaksin difteria, tetanus, batuk kokol, polio, campak, cacar air dan beguk sebagai langkah tambahan untuk perlindungan diri dan jemaah di sekeliling mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!