Pemuda Amanah Pulau Pinang desak kerajaan negeri tumpu projek infrastruktur harian

GEORGE TOWN - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri agar memberi keutamaan kepada projek infrastruktur harian seperti Lebuhraya Bertingkat Juru–Sungai Dua dan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara berbanding cadangan pembinaan Jambatan Ketiga yang disifatkan sebagai kurang mendesak.
Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Pulau Pinang negeri, Abrar Sadiq berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung cadangan pembinaan jambatan baharu itu sebagai pengganti kepada projek Terowong Dasar Laut.
Beliau berkata, pihaknya berpandangan sebarang projek mega perlu dinilai secara menyeluruh dan berlandaskan keperluan rakyat semasa, bukan sekadar untuk melengkapkan pelan pembangunan infrastruktur semata-mata.
"Kami kurang bersetuju dengan keutamaan yang diberikan kepada cadangan jambatan ketiga ini memandangkan masih banyak isu infrastruktur harian yang lebih mendesak.
"Tumpuan seharusnya diberikan kepada projek Lebuhraya Bertingkat Juru–Sungai Dua yang dijangka memulakan kerja fizikal pada suku keempat tahun ini kerana ia penting bagi menyuraikan kesesakan kronik di utara Seberang Perai, khususnya di kawasan Sungai Dua, Kepala Batas dan Tasek Gelugor,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam masa sama, beliau berkata, pihaknya menyambut baik pelaksanaan projek LRT Mutiara yang bakal menghubungkan Bayan Lepas ke Komtar, Tanjung Bungah hingga ke stesen akhir di Penang Sentral.
Abrar berkata, projek itu adalah satu pelaburan jangka panjang yang mampu mengubah budaya mobiliti rakyat serta meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam secara lestari.
"Kami akan terus bersuara agar pembangunan negeri berlaku secara seimbang dan berasaskan keperluan rakyat, bukan semata-mata berpaksikan keghairahan terhadap projek mega.
"Utamakan yang mendesak, rancang yang strategik. Rakyat perlukan solusi harian, bukan sekadar pelan masa depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!