80 rumah di dua kampung terjejas ribut

JEMPOL – Dianggarkan sebanyak 80 rumah di Kampung Baru Ayer Hitam dan Felda Lui Barat mengalami kerosakan akibat dilanda ribut sekitar jam 4.30 petang, Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Datuk Mohd Razi Mohd Ali berkata, jumlah sebenar rumah yang terjejas masih dalam proses dikenal pasti dan dijangka meningkat.
“Ribut menyebabkan begitu banyak rumah mengalami kerosakan dan jumlah sebenar masih belum dapat dipastikan.
“Saya bersama Ketua Peneroka Negeri Sembilan, pimpinan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Lui Barat, serta petugas Pejabat ADUN telah turun padang untuk meninjau keadaan dan mengambil tindakan awal bagi membantu mangsa yang terjejas,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Beliau turut memaklumkan bahawa penduduk yang terjejas telah ditempatkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lui Barat pada jam 6.45 petang.
Selain itu, katanya, kejadian ribut turut menyebabkan asrama SMK Lui Barat ditutup sementara atas faktor keselamatan, dan pelajar diminta untuk berulang-alik dari rumah selama tiga hari bermula Isnin ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!