ASEAN sokong penuh penyertaan Timor-Leste - Mohamad

Mohamad bercakap semasa sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Ahad. Foto Bernama
Mohamad bercakap semasa sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri-menteri Luar ASEAN pada Ahad mengulangi sokongan padu terhadap usaha Timor-Leste menjadi anggota penuh blok serantau itu, sambil mengiktiraf kemajuan ketara negara tersebut dalam melaksanakan Pelan Tindakan ASEAN.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkembangan itu merupakan antara sorotan utama Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) yang diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini, yang turut meluluskan cadangan penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi Timor-Leste.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa Timor-Leste perlu terus berusaha untuk memenuhi semua syarat dan mematuhi instrumen perundangan ASEAN, sambil menyatakan harapan agar keanggotaan penuh negara itu dapat dimuktamadkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog pada penghujung Oktober ini.

"Berhubung perkara ini (penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi Timor-Leste), seperti dinyatakan oleh Setiausaha Agung ASEAN, sebuah Unit Timor-Leste telah pun ditubuhkan bagi membantu negara itu memenuhi syarat dalam Pelan Tindakan, termasuk berkaitan penyertaan ke dalam instrumen perundangan ASEAN.

"Kita mengiktiraf kemajuan bermakna yang dicapai oleh Timor-Leste dalam melaksanakan Pelan Tindakan, sebagaimana dinyatakan dalam Laporan Kemajuan,” tambahnya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu, Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Mohamad menegaskan bahawa Timor-Leste perlu menggandakan usaha bagi memenuhi semua keperluan undang-undang untuk membolehkan penyertaan penuh dalam ASEAN, khususnya yang melibatkan teras Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

"Masih banyak instrumen undang-undang yang perlu dipenuhi, terutamanya dalam sektor ekonomi - sekitar 66 instrumen. Jadi kenapa tidak kita terima dahulu, kemudian beri tempoh beberapa tahun untuk mereka penuhi syarat tersebut?" katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pendekatan itu sejajar dengan tema ASEAN tahun ini, iaitu keterangkuman dan kemampanan.

"Kita mesti inklusif, Timor-Leste sewajarnya dijadikan sebagai anggota penuh ASEAN," tambahnya.

Mohamad berkata, mesyuarat hari ini juga menggesa Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) meneruskan perbincangan untuk merangka garis panduan yang diperlukan bagi memudahkan akses undang-undang Timor-Leste serta penyertaan penuhnya dalam institusi ASEAN.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) telah menerima pakai draf tambahan kepada Perja

Penerimaan draf tambahan itu, katanya menandakan satu pencapaian penting dalam usaha mengintegrasikan Timor-Leste ke dalam kerangka politik dan keselamatan ASEAN, sambil memaklumkan bahawa negara anggota ASEAN akan memulakan proses perundangan domestik masing-masing bagi memuktamadkan penyertaan Timor-Leste, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini.

Tambah beliau, hasil mesyuarat peringkat menteri akan dibincangkan dengan lebih lanjut di peringkat pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dipengerusikan oleh Malaysia.

Timor-Leste, yang mencapai kemerdekaan pada 2002, telah diberi status pemerhati dalam ASEAN pada 2022 dan kini giat bergerak ke arah keanggotaan penuh berdasarkan Pelan Tindakan Berstruktur yang telah diluluskan oleh blok serantau itu.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang diadakan di bawah tema Pengerusi ASEAN 2025 oleh Malaysia, iaitu 'Keterangkuman dan Kemampanan', dijangka membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mendesak, dengan krisis berterusan di Myanmar kekal menjadi kebimbangan utama dalam kalangan negara anggota.

Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Selain mesyuarat peringkat ASEAN, dua sidang kemuncak antara serantau turut dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang mencerminkan peningkatan keterlibatan Asia Tenggara bersama rakan strategiknya di Teluk dan China. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!