‘Saya doa keluarga turut diberi hidayah’

MAKKAH - “Saya benar-benar berdoa supaya ALLAH SWT beri hidayah kepada ahli keluarga yang masih belum Islam.”
Itu antara harapan seorang mualaf, Mohamad Saufi Lim Abdullah, 71, apabila menerima tawaran ke Tanah Suci mengerjakan haji tahun ini bersama isterinya.
Bekas pendakwah Kristian itu berkata, doanya adalah untuk orang yang disayanginya.
“Sebab itu saya harapkan keluarga yang bukan Islam mendapat hidayah. Dalam 10 beradik, lima sudah beragama Islam, ibu pun dah peluk Islam. Saya harap adik dan anak saudara yang belum peluk Islam diberi hidayah.
“Apa pun mereka tetap hormat saya walaupun dah peluk Islam,” katanya.
Bapa kepada dua anak itu berkata, dia memeluk Islam pada April 1989 ketika berusia 35 tahun.
Katanya, sebelum ini dia menyebarkan dakwah di Filipina hingga pandai berbahasa Tagalog.
“Ketika berdakwah di Johor, saya berkawan dengan rakan-rakan Melayu dan mereka tunjukkan saya mengenai Islam.
“Kemudian saya ada bermimpi dan lepas sebulan berfikir-fikir, saya peluk Islam apabila dapati ia agama yang suci,” katanya.
Ujarnya, rakannya bersemangat apabila dia memberitahu mahu memeluk Islam dan keesokan harinya terus dibawa ke masjid di Johor untuk mengucap dua kalimah syahadah.
“Kadang terfikir-fikir kenapa dari awal tiada yang beritahu saya Islam ini benar dan menjadi agama harapan supaya kita dapat perbetulkan diri sendiri.
“Pada saya Islam itu bukan ajaran tetapi menunjukkan bagaimana nak hidup sebagai manusia yang baik,” katanya.
Pengurus stesen minyak dari Bintulu, Sarawak itu berkata, banyak perbezaan yang berlaku dalam dirinya selepas memeluk Islam.
Pernah menunaikan umrah pada tahun 2021, katanya, dia teruja dan tidak sangka seorang mualaf dapat menunaikan haji.
“Bila lihat Kaabah itu saya tak terkejut tetapi perasaannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Saya tahu saya tak akan kembali lagi (tunaikan haji) ini mungkin pertama dan terakhir melainkan umrah, jadi saya kena buat ibadah dengan serius. ALLAH sudah jemput kita, kita harus buat yang terbaik. Balik haji nanti saya harap akan jadi lebih baik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, katanya dia seronok melihat pelbagai bangsa dari negara di dunia berhimpun di Masjidil Haram.
“Nasihat saya kepada yang lain daftarlah Tabung Haji kemudian tunggu peluang (tunai haji) dengan doa.
“ALLAH akan buka pintu untuk kamu. Kesihatan kena jaga, doakan ALLAH lindungi kita.Dalam apa-apa juga mengenai kehidupan kita kena doa sahaja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!