Anwar puji kejayaan Grid Tenaga ASEAN, hargai peranan Vietnam dalam peralihan tenaga

Anwar (kanan) mengadakan pertemuan dua hala bersama Minh Chinh (kiri) di Bangunan Perdana Putra sempena lawatan rasmi pertama pemimpin Vietnam itu ke Malaysia. Foto Bernama
Anwar (kanan) mengadakan pertemuan dua hala bersama Minh Chinh (kiri) di Bangunan Perdana Putra sempena lawatan rasmi pertama pemimpin Vietnam itu ke Malaysia. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Projek kabel dasar laut Grid Tenaga ASEAN yang menghubungkan Vietnam ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura, merupakan antara kejayaan utama Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad.

Bercakap pada sidang media bersama Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh yang sedang dalam lawatan rasmi selama lima hari bermula semalam, Anwar turut menyatakan penghargaan terhadap sokongan padu Vietnam dalam memacu dasar peralihan tenaga bagi sumber tenaga alternatif di rantau ini.

"Semua program yang kita mulakan, sama ada dalam konteks mekanisme pelbagai hala ASEAN atau hubungan dua hala Malaysia dan Vietnam, anda (Vietnam) sentiasa memberikan sokongan yang amat baik.

"Kita bukan sahaja mengumumkan tetapi membuat pengumuman hebat mengenai projek gergasi atau kerjasama atau usaha diplomatik, tetapi kali ini kita berjaya merealisasikannya melalui program dan projek yang berkesan, sejajar dengan dasar peralihan tenaga kita untuk tenaga alternatif di rantau ASEAN,” katanya.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan sebagai berkata bahawa Malaysia akan menerajui fasa pertama pelan integrasi grid tenaga serantau, yang menghubungkan Vietnam ke bahagian utara dan selatan Malaysia sebelum disambungkan ke Singapura melalui Grid Nasional Malaysia.

Perdana Menteri turut menyatakan bahawa hubungan Malaysia-Vietnam, yang telah dipertingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif tahun lepas, berkembang pesat dengan kerjasama yang sudah menunjukkan hasil dalam bidang pertanian (melalui MARDI), akademik, dan keselamatan maritim.

Mengakui masih terdapat beberapa cabaran, Anwar berkata kedua-dua negara bersetuju untuk memperdalam kerjasama melalui operasi bersama dan pengukuhan pengaturan keselamatan.

Anwar turut memuji pencapaian ekonomi oleh Perdana Menteri Vietnam, menggambarkan kemajuan negara itu sebagai 'menakjubkan' di bawah kepimpinannya.

Artikel Berkaitan:

"Anda (Chinh) sendiri seorang ahli ekonomi, anda telah menunjukkan prestasi yang sangat mengagumkan. Walaupun bermula dari asas yang rendah selepas tempoh kemusnahan, tetapi dalam beberapa dekad anda telah berkembang dan transformasi yang berlaku adalah sesuatu yang amat kami kagumi, dan pastinya ada yang boleh kami pelajari daripada pengalaman anda,” katanya.

Mengimbau peranannya dalam memperkukuh hubungan dengan Vietnam, Anwar turut mengenang semasa beliau menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1993, beliau telah memudahkan kemasukan bank-bank Malaysia ke pasaran Vietnam, berdasarkan keyakinan terhadap masa depan Vietnam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!