Skandal rasuah ADUN Sabah: Anwar nafi lindungi ADUN, mahu siasatan rapi SPRM

PENAMPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa siasatan berhubung dakwaan isu skandal rasuah menerusi penyebaran video melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah perlu dilaksanakan mengikut prosedur dan undang-undang yang teratur.
Menurut Anwar, beliau tidak mahu mengulangi pendekatan ala diktator yang pernah berlaku dalam sejarah pentadbiran negara, sebaliknya menekankan kepentingan tugas dan kuasa badan eksekutif, penguat kuasa dan kehakiman.
“Mengikut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru satu bulan yang lalu ada dikatakan video lengkap, maka SPRM rujuk kepada forensik untuk sahkan dan itu laku dalam siasatan, maknanya siasatan yang lebih rapi boleh diteruskan.
“Jadi saya nak terangkan supaya semua faham, saya tidak mahu pegang jawatan dalam kerajaan untuk melindungi. (Ada pihak mengatakan) Perdana Menteri mesti ambil tindakan, Perdana Menteri tidak tegas, Perdana Menteri sebut anti rasuah tapi mengizinkan (amalan rasuah).
“Ini Perdana Menteri bukan diktator bah, saya ikut hukum, saya kena lalui proses, saya tidak boleh tangkap begitu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), pada Jumaat.
Anwar turut menegaskan bahawa beliau tidak akan menggunakan kuasa sebagai Perdana Menteri untuk melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam salah laku atau pihak pemberi maklumat, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada proses perundangan.
“Siasatan itu tugas SPRM atau polis, pendakwaan itu kerja Peguam Negara dan menghukum itu kerja hakim. Perdana Menteri itu harus menjaga supaya sistem tersebut berjalan dengan betul.
“Bukan Perdana Menteri yang siasat, dakwa dan hukum. Itu diktator namanya. Kita pernah lalui dulu dan saya tahu itu, jangan minta saya ulang sistem begitu,” tegasnya.
Beliau mengakui pada awalnya tidak berhasrat untuk campur tangan dalam isu skandal video tersebut, namun penyebaran meluas rakaman itu menimbulkan pelbagai persepsi, termasuk dakwaan kononnya wujud usaha untuk menutup kes terbabit.
“Tentunya saya tidak campur pada mulanya, tetapi bila hal itu hangat, saya minta pandangan daripada SPRM berkaitan video-video ini.
“Tuduhannya bahawa kita menutup (isu tersebut), itu persepsi, dibangkitkan persepsi terutama di bandar seolah-olah ada usaha untuk menutup perbuatan rasuah dan kesalahan,” katanya.
Anwar turut mengakui telah menonton video tular berkenaan dan mengesahkan ia kelihatan seperti tulen, namun beliau menegaskan bahawa tindakan tidak boleh diambil hanya berdasarkan rakaman separuh jalan tanpa bukti yang sahih.
“Jadi saya tanya SPRM, video yang heboh ini saya pun tengok, nampak macam betul, apa masalahnya?
“Jawapan rasmi mereka, kalau ikut hukum, video sekerat-sekerat ini boleh disiasat tapi tidak boleh didakwa. Tidak ada mahkamah yang akan terima video sekerat-sekerat, apalagi zaman teknologi kecerdasan buatan (AI), jadi sebab itu kena siasat,” katanya.
Jelasnya, SPRM memaklumkan bahawa siasatan berdasarkan sebahagian video sahaja tidak dapat diteruskan kerana kekurangan maklumat dan keterangan lengkap daripada pihak berkaitan.
“Jawapan mereka, ia disiasat tapi tidak boleh teruskan kerana belum ada keterangan. Orang yang mengeluarkan keterangan itu pun keluarkan sedikit (kenyataan), dibicara dengan pembangkang sedikit, dihangatkan suasana, jadi tentunya kita kena jelaskan,” katanya.
Anwar dalam pada itu turut menyifatkan perkara itu menimbulkan suasana yang tidak sihat kerana menarik perhatian pelbagai pihak dan seterusnya menghangatkan suhu politik, lebih-lebih lagi ketika Sabah bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Kadang-kadang dalam pergelutan ketika menghampiri PRN Sabah, pimpinan yang pernah memimpin, yang bersama-sama, kadang-kadang lupa.
“Semata-mata untuk menghangatkan suhu politik ataupun membangkitkan isu yang menimbulkan terhakisnya keyakinan kepada negara. Ini tidak sihat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memilih untuk bercakap secara terus terang mengenai perkara tersebut kerana tidak mahu berselindung di sebalik kenyataan manis semata-mata.
“Apa kritikan paling kuat di sini? Ia berkaitan pengedaran video yang dikatakan tidak disiasat oleh agensi kerajaan Persekutuan seperti SPRM,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa adalah penting untuk memastikan setiap peringkat siasatan dilakukan dengan teliti agar sistem pentadbiran negara dapat berfungsi secara adil dan berkesan.
“Sebab itu kita kena teliti di semua peringkat supaya seluruh sistem dapat dibersihkan. Ini tanggungjawab kita dalam memastikan tadbir urus yang baik.
“Saya pilih untuk berterus terang dalam hal ini. Kalau tidak ada penjelasan, nanti timbul pelbagai salah faham. Walaupun hari ini kita berhimpun sempena Pesta Kaamatan, saya tetap perlu menyentuh isu ini kerana ia penting.
“Kita perlu ada kesediaan untuk berubah. Saya tidak kata kita semua ini sempurna, tetapi kita berpakat untuk membawa kemajuan bersama,” katanya.
Tambah beliau, sebarang pelanggaran undang-undang, terutamanya jika melampau, perlu diambil tindakan sewajarnya.
“Kalau ada pelanggaran yang melampau, saya setuju tindakan harus diambil. Jadi saya harap perkara ini dapat difahami oleh semua,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!