Selangor luluskan penubuhan Majlis Syeikh Maqari, 21 pakar al-Quran dilantik

SHAH ALAM - Kerajaan negeri meluluskan penubuhan Majlis Syeikh Maqari sebagai badan berautoriti untuk melatih dan mengembangkan pembacaan al-Quran di Selangor berasaskan standard bacaan yang tinggi.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, dana awal sebanyak RM302,000 telah diluluskan untuk melantik seramai 21 pakar al-Quran yang akan menetapkan standard bacaan terbaik di negeri itu.
Menurutnya, inisiatif itu juga bertujuan melatih keupayaan tenaga pengajar al-Quran cara pembacaan sempurna, alunan yang baik dengan pemahaman jelas terhadap nahu, balaghah dan sebagainya.
“Majlis Syeikh Maqari ini akan dilaksanakan menerusi Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS).
“Kerajaan negeri juga telah meluluskan perbelanjaan sebanyak RM1 juta untuk menyokong program Talaqqi al-Quran secara berguru menerusi ALAS agar teknik bacaan dan standard bacaan yang ditetapkan Majlis Syeikh Maqari dapat diterapkan kepada pengajar al-Quran di Selangor.
“Ini sebagai usaha kerajaan negeri mempergiatkan serta menggalakkan pembacaan al-Quran dan penghayatan maksudnya dalam kehidupan harian umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah Mohammad Fahmi, dana yang sama juga akan digunakan untuk penubuhan Akademi Turath.
Beliau berkata, ia bukan sahaja usaha untuk menjadikan Selangor negeri maju, namun pusat pengembangan ilmu Turath dengan kefahaman Islam yang lebih menyentuh hati, sederhana, penuh toleransi dan progresif.
“Diharapkan dengan pendekatan ini, umat Islam di Selangor dapat mempelajari teknik bacaan al-Quran yang lebih baik agar mesejnya dapat dihayati oleh semua,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!