7 premis makanan kotor di Batang Kali diarah tutup serta-merta

Operasi yang dijalankan Bahagian Inspektorat JPSPPA MPHS membawa kepada penutupan tujuh premis makanan kerana didapati melanggar pelbagai kesalahan kebersihan dan keselamatan makanan. Foto: Facebook MPHS
Operasi yang dijalankan Bahagian Inspektorat JPSPPA MPHS membawa kepada penutupan tujuh premis makanan kerana didapati melanggar pelbagai kesalahan kebersihan dan keselamatan makanan. Foto: Facebook MPHS
A
A
A

HULU SELANGOR - Sebanyak tujuh daripada 18 premis makanan yang diperiksa menerusi Ops Suci di Batang Kali, di sini telah diarahkan tutup serta-merta selepas didapati melanggar pelbagai peraturan kebersihan dan keselamatan makanan.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan, operasi yang dijalankan Bahagian Inspektorat Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) itu telah mengesan beberapa kesalahan termasuk penemuan hurungan lipas, najis tikus dan katak di dalam premis.

Lalat yang ditemui di dalam premis makanan. Foto: Facebook MPHS
Lalat yang ditemui di dalam premis makanan. Foto: Facebook MPHS

“Selain itu, telur ayam tidak dibasuh dengan sempurna, ruang penyimpanan tidak teratur dan kotor, pengendali makanan tiada Sijil Latihan Pengendali Makanan dan suntikan pelalian anti tifoid.

“Malah, premis turut melepaskan sisa efluen daripada premis terus ke longkang awam, mempunyai perangkap minyak dan sistem pelepasan asap yang tidak diselenggara, pengendali berkuku panjang, memakai barang kemas serta tidak memakai apron, kasut dan penutup kepala.

“Premis juga gagal melantik operator kawalan haiwan perosak yang berdaftar dengan Lembaga Racun Malaysia dan beberapa kesalahan lain di bawah piawaian MPHS,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Keadaan sebuah premis makanan yang didapati dalam keadaan menjijikan. Foto: Facebook MPHS
Keadaan sebuah premis makanan yang didapati dalam keadaan menjijikan. Foto: Facebook MPHS

Tambah MPHS, tindakan pembersihan perlu dilakukan serta-merta dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis diberi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, MPHS berkata, pihak JPSPPA telah mengeluarkan 30 notis kompaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM30,000 tanpa pengurangan.

“Kompaun adalah berdasarkan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Establisymen Makanan 2007 merangkumi dua notis UUK 26 iaitu menyediakan kelengkapan pemadam kebakaran yang mencukupi & diselenggara dengan baik (tamat tempoh).

“Tujuh notis UUK 19(1)(d) iaitu membuang atau menumpahkan buangan cecair ke dalam longkang awam serta sembilan notis UUK 15 iaitu tidak menyelenggara premis dalam keadaan bersih.

“Lima notis UUK 34 pula tidak mengambil langkah pencegahan serangga di dalam premis makanan,” ujarnya.

Sementara itu, MPHS berkata, JPSPPA turut mengeluarkan kompaun di bawah UUK Pengendali Makanan 2007 melibatkan lima notis UUK 9 iaitu tidak mendapatkan suntikan anti-tifoid.

“Dua notis UUK 8, tidak memakai apron dan penutup kepala semasa persediaan atau jualan makanan dan dalam keadaan bersih.

“Diharapkan tindakan tegas ini dapat memberi amaran kepada pemilik dan pengendali premis makanan lain untuk memastikan kebersihan dan keselamatan makanan di premis sentiasa dijaga,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!