6 cadangan Zulkifli elak insiden libat haiwan liar

SHAH ALAM - Bagi mengurangkan insiden kemalangan melibatkan haiwan liar di jalan raya, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengemukakan enam cadangan kepada kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan.
Menurut beliau, cadangan komprehensif tersebut merangkumi aspek teknologi, perundangan, pendidikan, komuniti serta pendekatan keagamaan.
Antara cadangan utama ialah pemasangan papan amaran pintar di zon laluan haiwan liar, melibatkan kerjasama antara Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Sistem amaran awal berasaskan penderia haba dan kamera pengesan telah terbukti berkesan di India dan Kenya. Ia dicadangkan untuk dilaksanakan sebagai projek rintis nasional di laluan berisiko tinggi seperti Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli.
“Selain itu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Kementerian Pengangkutan boleh mewartakan Zon Ekologi Sensitif Tier 1, khususnya di kawasan migrasi haiwan. Ini termasuk penetapan had laju maksimum 60 kilometer sejam (km/j) antara jam 6 petang hingga 6 pagi,” katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Jumaat.
Jelasnya lagi, usaha tersebut perlu melibatkan penguatkuasaan ketat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan penekanan terhadap kesedaran bahawa isu ini bukan sahaja berkait keselamatan, tetapi juga tanggungjawab moral terhadap hidupan liar.
Sebelum ini, seekor anak gajah mati dilanggar sebuah lori dalam kejadian menyayat hati di Kilometer 80, Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi Ahad, apabila haiwan tersebut keluar secara tiba-tiba dari kawasan hutan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, pemandu lori terbabit tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat, menyebabkan anak gajah itu mati di tempat kejadian.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, bagi jangka panjang, kerajaan wajar melaksanakan pembinaan koridor hidupan liar dan kawasan tadahan makanan gajah di lokasi kritikal seperti Gerik-Jeli.
“Untuk menjamin kelestarian tanpa bergantung kepada bajet tahunan, pendekatan wakaf boleh diguna pakai. Tanah strategik boleh diwartakan sebagai wakaf khairi dengan kerjasama Yayasan Wakaf Malaysia dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), manakala dana wakaf tunai digunakan untuk pemuliharaan dan penanaman semula.
“Inisiatif ini menggabungkan kelestarian, nilai ihsan, prinsip Islam dan berpotensi menjadi model rintis wakaf alam di Malaysia serta dunia Islam,” katanya.
Pendekatan beliau turut menyentuh peranan institusi agama apabila menggesa penglibatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Mufti Negeri untuk menggerakkan kesedaran awam melalui khutbah Jumaat serta kempen bertemakan nilai ihsan seperti ‘Hormat Laluan Haiwan Liar, Tanda Ihsan Kita Kepada Alam’.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperkasakan peranan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Malaysian Nature Society (MNS), Persatuan Pelindung Harimau Malaysia (Rimau), dan World Wide Fund For Nature Malaysia (WWF-Malaysia) melalui pemberian geran tahunan berasaskan keberhasilan oleh Kementerian Kewangan dan NRES.
“Sementara itu, komuniti Orang Asli yang tinggal berhampiran habitat haiwan liar wajar dijadikan rakan strategik melalui program Eco-Patrol dengan elaun khas bagi melaporkan pergerakan kawanan atau kumpulan besar haiwan liar secara berkala.
“Akhir sekali, sudah tiba masanya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Pemeliharaan Spesies Terancam (SPST) di bawah Parlimen bagi menyelaras dasar pemeliharaan spesies terancam seperti gajah, harimau dan tapir.
“Langkah ini penting bagi mengelakkan pengurusan bersifat silo antara agensi dan memastikan pendekatan yang lebih holistik,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!