[VIDEO] ‘Arwah rebah depan saya seminit lagi nak azan Subuh’
MAKKAH – “Selepas minum air zamzam, arwah minta kami berempat rakam gambar sebagai kenang-kenangan. Ketika melakukan pusingan kelima tawaf sunat, arwah tiba-tiba rebah di depan mata saya.”
Demikian kata rakan sebilik kepada jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci pada pagi Isnin waktu tempatan akibat serangan jantung.
Ashri Mohamed, 52, berkata, ketika hampir pengsan, Allahyarham Abdullah Mat, 59, sempat berpaut padanya dan dia menyambut tubuh badan serta mendakap kepala arwah daripada terjatuh ke lantai.

“Waktu itu kami baru lepas lalui lampu hijau yang sejajar dengan Hajar Aswad, saya lihat arwah berjalan makin lama makin perlahan. Bila tengok macam itu saya terus rapatkan diri dengannya.
“Lagi seminit azan Subuh nak dilaungkan arwah rebah depan saya,” katanya yang merupakan rakan sebilik Allahyarham sejak berada di Madinah.
Ashri berkata, dalam keadaan kelam-kabut kerana jemaah lain sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Subuh datang seorang lelaki warga India memberitahu dirinya adalah seorang doktor dan memulakan bantuan pernafasan (CPR) kepada arwah.
“Lelaki berkenaan meminta kami hubungi pasukan perubatan dan arwah dibawa ke unit kecemasan hospital.
“Selepas beberapa minit masuk wad kecemasan, seorang doktor di hospital berkenaan beritahu, arwah sudah ‘tiada’ dan minta maklumkan kepada warisnya. Saya tidak pasti arwah hembuskan nafas terakhir di Masjidil Haram ataupun di hospital namun sempat mengajarnya mengucap ketika rebah,” katanya.

Menceritakan mengenai keperibadian Allahyarham, Ashri berkata walaupun baru mengenali Abdullah, arwah disenangi rakan sebilik kerana peramah, ceria, suka bergurau dan rajin bersedekah.
“Disebabkan saya paling muda dalam bilik, arwah ada pesan minta tolong jagakan dia sebab masalah mata yang dihidapinya.
“Bila kami semua rakan sebilik keluar ke mana-mana, memang kami minta arwah jalan di tengah supaya dapat melihatnya kerana risau dia terbabas,” katanya.
Ujar Ashri lagi, dia dan rakan-rakan kagum dengan sikap Allahyarham yang suka bersedekah di mana sahaja dia berada.

“Saya kagum dengan dia, suka bersedekah. Bila pergi beli jubah dan sebagainya hujung ayatnya mesti kata nak bersedekah.
“Paling saya tak boleh lupakan ketika mandikan jenazah, wajahnya sama sahaja seperti hidup langsung tiada perubahan,” katanya lagi.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci pada pagi Isnin akibat serangan jantung.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata jemaah berkenaan, Abdullah Mat, 59, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Jiwar, Jabal Omar, Makkah.
Ini adalah kes kedua membabitkan kematian jemaah haji Malaysia di Tanah Suci selepas Allahyarhamah Norizah Tambonan, 47, yang dilaporkan meninggal dunia Jumaat lalu akibat serangan jantung.
Abdullah yang juga jemaah dari Maktab 89A menginap di Abraj al Janadriyah ditemani isterinya, Sarifah Hassan.
Pihak Tabung Haji akan menguruskan pelaksanaan badal haji untuk Allahyarham dan urusan berkaitan lain akan disempurnakan dengan sebaiknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!