Gangguan air mengejut: Penduduk minta Ranhill SAJ bertindak segera

Tangkap layar reaksi netizen di laman facebook Ranhill SAJ berhubung gangguan bekalan air berkenaan. Gambar kecil dari kiri: Afif Fathi, Isa, Rozaidi
Tangkap layar reaksi netizen di laman facebook Ranhill SAJ berhubung gangguan bekalan air berkenaan. Gambar kecil dari kiri: Afif Fathi, Isa, Rozaidi
A
A
A

JOHOR BAHRU – Penduduk sekitar Iskandar Puteri dan Johor Bahru menggesa syarikat pengendali air negeri, Ranhill SAJ agar segera menangani gangguan bekalan air tidak terancang susulan kerosakan pam di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor, Kota Tinggi sejak Selasa.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ramai penduduk terkesan dengan gangguan tersebut kerana tidak sempat membuat persiapan seperti menyimpan air untuk kegunaan harian.

Imam Surau Nur Bestari Jaya, Afif Fathi Lois Mahnedy, 20, berkata, gangguan itu amat mengejutkan kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Sekarang dah masuk satu hari tak ada air. Kalau ikutkan paling lama pun tiga hari, kalau lebih memang jadi masalah. Sukar nak mandi, memasak, buang air dan sebagainya. Harap masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsi Isa Abu Bakar, 74, penduduk Taman Bestari Jaya yang menyifatkan gangguan itu amat membebankan kerana berlaku secara tiba-tiba tanpa notis.

“Kalau gangguan dirancang, kita boleh simpan air. Tapi bila tak dijangka macam ini, memang susah. Malam ini ada kuliah Maghrib di surau, kita teruskan juga sebab dah rancang awal. Kita cuma minta jemaah jaga wuduk masing-masing,” ujarnya.

Sementara itu, penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana, Rozaidi Abdullah Ghani, 48, pula berkata kawasan mereka tidak terjejas dengan gangguan bekalan air.

“Di PPR ni air masih ada seperti biasa, surau pun berfungsi seperti biasa. Mungkin Ranhill SAJ dah atasi awal di sini. Cuma saya harap tempat lain pun tidak mengalami gangguan yang berpanjangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan di Facebook rasmi Ranhill SAJ, syarikat itu memaklumkan bahawa semua enam unit pam air mentah di LRA Sungai Johor yang rosak akibat ditenggelami air telah berjaya dikeluarkan dan kini sedang dibaik pulih.

“Proses baik pulih kini melepasi tahap 30 peratus bagi membolehkan penyaluran air terawat dilakukan serta-merta ke kawasan yang terjejas, khususnya Johor Bahru dan Iskandar Puteri.

“Pengguna yang masih menerima bekalan air dinasihatkan supaya menyimpan air secukupnya sebagai langkah berjaga-jaga,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan boleh menghubungi Ranhill SAJ di talian 1800-88-7474, e-mel ke [email protected] atau SMS dengan menaip AT<>RanhillSAJ<>Aduan dan hantar ke 63001.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!