Pelajar sanggup lepas ujian penting demi selamatkan rakan kena serangan jantung

Seorang pelajar di China sanggup melepaskan ujian penting Gaokao demi menyelamatkan nyawa rakan sekelasnya yang mengalami serangan jantung. Foto hiasan
Seorang pelajar di China sanggup melepaskan ujian penting Gaokao demi menyelamatkan nyawa rakan sekelasnya yang mengalami serangan jantung. Foto hiasan
A
A
A

BEIJING - Seorang pelajar di China sanggup melepaskan peluang menduduki peperiksaan penting demi menyelamatkan nyawa rakan sekelasnya yang mengalami serangan jantung secara tiba-tiba.

Jiang Zhaopeng, 18, dari wilayah Shandong timur, sedang dalam perjalanan bersama rakan sekelasnya untuk menduduki ujian masuk kejuruan nasional, dikenali sebagai Gaokao Musim Semi, pada 10 Mei 2025.

Peperiksaan itu merupakan kelayakan penting bagi kemasukan ke kolej vokasional di China.

Sebaik sahaja mereka menaiki kereta e-hailing, rakan sekelas Jiang tiba-tiba mengalami serangan jantung dan tidak sedarkan diri selepas menunjukkan reaksi tekanan dengan menendang tempat duduk.

Tanpa berlengah, Jiang segera memberikan bantuan pernafasan kecemasan dan mengarahkan pemandu, Wang Tao, untuk membawa mereka ke hospital terdekat.

Wang pula segera menghubungi polis trafik dan dengan keizinan pihak berkuasa, kenderaan mereka dibenarkan melepasi enam lampu isyarat tanpa henti, membolehkan mereka tiba di hospital dalam masa tujuh minit.

Menurut laporan media tempatan, jantung mangsa terhenti hampir 30 minit sebelum pasukan perubatan berjaya menghidupkan semula degup jantungnya menerusi rawatan kecemasan.

Selepas memastikan rakannya berada dalam keadaan stabil, Jiang melaporkan kejadian tersebut kepada pihak sekolah dan terus bergegas ke pusat ujian.

Artikel Berkaitan:

Namun, beliau tidak sempat menduduki kertas Bahasa Mandarin kerana kelewatan yang tidak dapat dielakkan.

“Saya tidak menyesal. Ujian saya boleh ditunda, tetapi rakan sekelas saya hanya ada satu nyawa,” katanya kepada media tempatan.

Tambah Jiang, pengalaman itu semakin menguatkan tekadnya untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan.

Setakat ini, rakan sekelasnya masih menerima rawatan di hospital.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!