Lesen sahaja tidak cukup, semak latar belakang pemandu lori - WHO

SHAH ALAM – Setiap pengendali syarikat pengangkutan berat wajib mengambil serius aspek merekrut pemandu lori dengan meneliti latar belakang mereka dan tidak sekadar bergantung kepada kelayakan lesen memandu semata-mata.
Ketua Pegawai Perhubungan Awam, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (WHO), Daniel Khoo berkata, kegagalan syarikat menapis kelayakan calon pemandu secara menyeluruh boleh mengundang risiko besar termasuk tragedi jalan raya serta melumpuhkan operasi perniagaan.
Menurutnya, syarikat pengangkutan berat tidak boleh memandang ringan proses pengambilan pemandu termasuk keperluan mewajibkan mereka membuat semakan dengan pihak polis untuk memastikan calon bebas daripada rekod jenayah.
“Kita tidak boleh anggap mereka yang ada lesen layak menjadi pemandu lori. Setiap calon wajib disaring termasuk keperluan melalui semakan polis bagi memastikan mereka bebas jenayah seperti dadah, kecurian atau kes kekerasan.
“Jika ambil mudah, bukan sahaja nyawa pengguna jalan raya terancam malah syarikat juga bakal berdepan kerugian besar serta menjejaskan reputasi dan kelangsungan perniagaan,” katanya.
Daniel menyifatkan tragedi ngeri di Teluk Intan, Perak membabitkan sebuah lori pasir merempuh lori Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) hingga meragut sembilan nyawa anggota keselamatan negara sebagai satu amaran keras kepada semua pemain industri.
Kata beliau, tekanan kekurangan tenaga kerja tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengabaikan aspek keselamatan dan latar belakang pemandu.
“Saya faham cabaran mendapatkan pemandu ketika ini agak sukar. Akan tetapi, jika terlalu mudah merekrut calon tidak layak, syarikat-syarikat ini ibarat sedang membuka pintu kepada malapetaka.
“Dalam banyak kes kemalangan serius bukan sahaja pemandu akan disiasat malah syarikat juga berisiko dikenakan tindakan.
“Bagi syarikat yang mempunyai lebih daripada 10 lori, situasi seperti ini boleh melumpuhkan keseluruhan operasi dan menjejaskan aliran kewangan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Daniel yang juga pemilik syarikat pengangkutan berat berkata, pihaknya amat menitikberatkan semakan latar belakang calon pemandu sebelum diambil bekerja.
Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan sistem data berpusat bagi membolehkan pengusaha menyemak maklumat seperti saman tertunggak, lesen digantung dan rekod jenayah secara dalam talian dengan pantas serta telus.
“Kita tidak boleh teruskan dasar pengurusan yang bersifat tutup sebelah mata. Kita perlukan sistem mesra industri tetapi tegas.
“Budaya ambil mudah perlu dihapuskan jika mahu melihat industri pengangkutan berkembang secara selamat, profesional dan berdaya tahan.
“Dalam dunia pengangkutan, keputusan yang cuai boleh mengorbankan nyawa. Maka biarlah kita kekurangan pemandu daripada melantik yang bakal membawa bala,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!