Pemandu lori batu mengaku tidak salah pindahkan dua lembu curi

TELUK INTAN - Pemandu lori yang terlibat menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Selasa atas pertuduhan memindahkan harta curi, iaitu dua ekor lembu, bulan lalu.
Tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah memindahkan harta curi, iaitu seekor lembu jantan warna hitam baka KK Cross dan seekor lembu jantan warna putih baka Brahman milik seorang warga emas berusia 66 tahun dari tempat asalnya di sebuah kebun di Kampung Sungai Keli, Hutan Melintang.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Kampung Kebun Baru, Hutan Melintang sekitar jam 6 petang pada 14 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hafizudin Khan Norkhan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dan kes disebut semula pada 16 Jun depan.
Proses membayar ikat jamin itu dilakukan oleh majikan lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Ravi, 58.
Media pada Isnin melaporkan, Rudi Zulkarnain yang sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan, telah ditahan semula bagi membantu siasatan kes curi lembu di Hutan Melintang pada April lalu.
Jumaat lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan majistret sama bagi sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik pada 13 Mei 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!