Mangsa simbah asid semakin pulih selepas jalani tiga pembedahan - Suami

Muhammad Syahrul Ikhwan menunjukkan gambar isterinya, Nor Faziera yang menjadi mangsa serangan asid. Foto Bernama
Muhammad Syahrul Ikhwan menunjukkan gambar isterinya, Nor Faziera yang menjadi mangsa serangan asid. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Keadaan kesihatan mangsa serangan asid, Nor Faziera Muda, 27, semakin pulih selepas menjalani tiga pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Muhammad Syahrul Ikhwan Seri Buana, 33, berkata, dia juga tidak pasti berapa kali lagi isterinya yang juga pengusaha spa perlu menjalani pembedahan susulan insiden 17 Mei lepas itu.

"Kami menyerahkan kepada kebijaksanaan doktor dan berharap keadaannya akan pulih sepenuhnya secepat mungkin.

"Kebimbangan saya sekarang adalah kesan trauma isteri kerana dia mungkin masih terbayang saat diserang apatah lagi tidak mengetahui individu yang tergamak melakukan perbuatan berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Ditanya mengenai penahanan dua suspek termasuk seorang yang masih diburu, Muhammad Syahrul berkata, dia enggan membuat sebarang andaian kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis.

"Saya serahkan semuanya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan dan menangkap individu yang terbabit.

"Perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan seperti itu perlu diberikan hukuman yang setimpal," katanya.

Pada minggu lepas, seorang peniaga wanita disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali dalam kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar dekat Tawang, Bachok.

Artikel Berkaitan:

Akibat serangan itu, mangsa melecur teruk pada bahu, belakang, lengan dan kaki dan dia dilaporkan stabil selepas dirawat di Wad Unit Rawatan Kebakaran HUSM, di sini.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!