Nahas FRU: Polis Perak dedah ada pihak cuba menangguk di air keruh

GERIK – Polis Perak mendedahkan terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mengeksploitasi dan memanipulasi waris mangsa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas di Teluk Intan pada 13 Mei lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, waris memaklumkan bahawa mereka menerima panggilan serta didatangi pihak tidak dikenali yang membawa dokumen untuk ditandatangani.
Menurut beliau, penipuan itu dilaporkan melibatkan aspek kewangan dan perundangan.
“Kita perlu berwaspada kerana terdapat cubaan untuk mengeksploitasi dan memanipulasi waris-waris ini oleh pihak tidak bertanggungjawab yang ‘cuba menangguk di air keruh’.
“Saya tidak boleh berkongsi secara terperinci, tetapi pada zaman sekarang banyak scammer. Dengan berita mengenai sumbangan dan pampasan yang diterima, ada pihak melihatnya sebagai peluang,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Gerik dan Pengerusi Perkep Daerah Gerik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian itu, sembilan anggota FRU meninggal dunia manakala sembilan lagi cedera, sebahagiannya parah, apabila trak yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori muatan batu kerikil di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, Teluk Intan.
Menurut Noor Hisam, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi memantau dan menangani cubaan eksploitasi tersebut selain melantik seorang peguam.
“Kita telah mengambil langkah-langkah mitigasi, dan pihak FRU telah melantik peguam untuk mewakili mereka.
“Sekiranya ada pihak yang ingin berhubung secara individu dengan waris-waris ini, kita tidak benarkan. Mereka perlu berhubung melalui peguam yang dilantik,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan empat anggota FRU yang masih dirawat di Hospital Teluk Intan dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Tiga anggota di Teluk Intan masih memerlukan sokongan oksigen, manakala seorang lagi yang dirawat di Ipoh telah stabil.
“Setakat ini, mereka yang cedera masih menjalani rawatan dan berada dalam tempoh cuti sakit,” katanya.
Tambahnya, Jabatan Integriti dan Pemerkasaan Standard turut menyalurkan bantuan kaunseling dan sokongan kerohanian menerusi Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) kepada anggota yang terlibat serta ahli keluarga mereka.

Terdahulu, Noor Hisam menyaksikan Superintenden Zulkifli Mahmmod menyerahkan tugas kepada timbalannya, Deputi Superintenden Muhammad Firdaus Abdullah yang akan memangku sementara jawatan Ketua Polis Daerah Gerik.
Zulkifli akan memulakan tugas sebagai Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (Operasi Risik), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!