220 pusat sembelihan sementara diluluskan sempena Aidiladha

Zahari (dua dari kiri) meninjau barangan keperluan harian sempena Aidiladha di Pasar Tani Kekal Jalan Datin Halimah Johor Bahru pada Khamis.
Zahari (dua dari kiri) meninjau barangan keperluan harian sempena Aidiladha di Pasar Tani Kekal Jalan Datin Halimah Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar meluluskan sebanyak 220 Pusat Kebenaran Sembelihan Sementara (PKSS) bagi pelaksanaan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha tahun ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, jumlah itu melibatkan 21 pusat sembelihan berdaftar, selain masjid dan surau terpilih di seluruh negeri.

Menurutnya, jumlah PKSS tersebut meningkat berbanding 204 pusat yang diluluskan pada tahun lalu.

“Untuk rekod, tahun lepas sebanyak 9,304 ekor ternakan dikorbankan. Dengan penambahan pusat sembelihan sementara kepada 220 tahun ini, saya menjangkakan jumlah ternakan korban juga akan meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau barangan keperluan harian sempena Aidiladha di Pasar Tani Kekal Jalan Datin Halimah di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Zahari menegaskan bahawa semua pihak yang diberi kebenaran menjalankan penyembelihan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Katanya, antara SOP yang perlu dipatuhi termasuklah memastikan kesihatan haiwan korban dalam keadaan baik, serta memastikan pusat sembelihan dan peralatan yang digunakan bersih dan selamat.

“Pegawai veterinar di setiap daerah juga akan melakukan pemantauan di lokasi-lokasi PKSS bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa sehingga kini, tiada sebarang kes penyakit mulut dan kuku (FMD) dilaporkan melibatkan haiwan korban di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!