Pindaan Akta Perhimpunan Aman perlu libat konsultasi semua pihak - Bersih

SHAH ALAM - Proses pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) perlu dilaksanakan dengan melibatkan konsultasi semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pejuang hak asasi manusia, ahli akademik dan masyarakat sivil.
Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, ia kerana penyertaan pemegang taruh itu penting bagi memastikan pindaan dibuat mencerminkan keperluan rakyat dan mematuhi standard hak asasi manusia antarabangsa.
“Bersih menyeru kerajaan untuk bukan sahaja menghentikan siasatan terhadap perhimpunan yang telah diadakan sebelum ini, tetapi juga segala bentuk intimidasi terhadap aktivis dan pejuang hak asasi manusia.
“Gangguan berterusan pihak polis seperti yang berlaku terhadap Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy pada Rabu tidak sepatutnya berlaku jika kerajaan benar-benar komited untuk melindungi hak bersuara dan berhimpun,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis berkata, kerajaan setuju meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 dengan menghapuskan syarat bagi penganjur perhimpunan mendapatkan kebenaran pemilik tempat perhimpunan diadakan.
Menurut beliau, pindaan tersebut bagi memudahkan rakyat berhimpun secara aman namun penganjur perlu memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai penganjuran perhimpunan dalam tempoh lima hari sebelum ia diadakan.
Dalam pada itu, Bersih berkata, pindaan akta berkenaan perlu menjadi bukti bahawa kerajaan menghormati dan komited memperkasa hak rakyat dalam menyuarakan pandangan mereka.
“Langkah pindaan ini adalah tepat pada masanya untuk memastikan hak rakyat berhimpun secara aman dilindungi sepenuhnya dan selaras dengan prinsip demokrasi.
“Bersih turut mengalu-alukan jaminan kerajaan bahawa tiada tindakan yang bakal diambil ke atas mahasiswa yang terlibat dalam penganjuran Himpunan Anti Rasuah, mogok lapar serta bantahan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) baru-baru ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!