Isu MAHB: PAC bertindak profesional, kata Mas Ermieyati

Mas Ermieyati. Foto Bernama
Mas Ermieyati. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menegaskan peranannya sentiasa berpegang kepada keputusan konsensus oleh 13 ahli dalam memulakan prosiding atau memanggil saksi.

Mas Ermieyati berkata, ia kerana PAC mahu memastikan laporan berhubung isu dakwaan kerugian RM500 juta dalam perjanjian penswastaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) itu tidak berat sebelah, komprehensif dan dapat menjadi rujukan semua pihak.

“Semua Pengerusi PAC bertindak profesional dalam memastikan kredibiliti dan profesionalisme jawatankuasa ini sentiasa terpelihara dan dihormati sejak penubuhannya pada tahun 1959.

“Justeru, saya ingin bertanya kepada Anthony Loke adakah beliau tidak mahu memberikan maklum balas atau pandangan sebagai Menteri Pengangkutan bagi menambah baik Pengurusan Lapangan Terbang Awam negara untuk dimasukkan dalam Laporan PAC.

“Sekiranya enggan, terpulanglah kepada beliau dan sejarah akan merekodkan bahawa seorang menteri Kabinet enggan hadir di hadapan PAC untuk memberikan pandangan dan penjelasan sedangkan ia adalah demi kebaikan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Anthony pada Rabu mempersoalkan tindakan Mas Ermieyati yang disifatkan bermotifkan politik dan mendakwa Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dilihat cuba mencipta persepsi negatif terhadapnya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP turut mempersoalkan mengapa Kementerian Pengangkutan dikaitkan dengan isu berkenaan sedangkan transaksi MAHB tiada kaitan dengan kementeriannya memandangkan ia syarikat tersenarai.

Ujar Mas Ermieyati, kenyataan Anthony itu tidak tepat sekali memandangkan PAC telah memanggil ramai menteri serta mantan menteri dalam setiap prosiding dan tiada kena mengena dengan parti mereka.

Artikel Berkaitan:

“Atas sebab itu, saya ingin menjelaskan kepada Anthony bahawa tajuk prosiding PAC adalah Pengurusan Lapangan Terbang Awam di mana Kementerian Pengangkutan juga adalah pemegang taruh utama dalam pengurusan lapangan terbang awam.

“Skop prosiding tidak terhad semata-mata kepada pengambilalihan MAHB oleh konsortium GDA tetapi turut merangkumi isu kenaikan harga tiket ke Wilayah Sarawak dan Wilayah Sabah, isu kelewatan pemasangan aerotrain Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA),” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!