Pemandu van sekolah disyaki cabul dua kanak-kanak direman

Seorang pemandu van sekolah ditahan polis pada Isnin selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak. Gambar hiasan
Seorang pemandu van sekolah ditahan polis pada Isnin selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak. Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu van sekolah ditahan polis pada Isnin selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, suspek berusia 58 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Desa Harmoni, di sini, susulan laporan yang dibuat oleh bapa mangsa.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada 21 April lalu membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang mendakwa dicabul suspek ketika berada dalam van sekolah berhampiran kawasan sekolah di Taman Molek.

“Mangsa memaklumkan kejadian itu kepada bapanya, namun tiada tindakan diambil ketika itu kerana dia mahu memberi peluang kepada suspek.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 8 pagi Isnin, bapa mangsa ternampak sendiri suspek mencabul seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Taman Redang, ketika van sekolah diparkir menunggu pelajar lain,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Selasa.

Mohd Sohaimi berkata, susulan kejadian itu, bapa terbabit tampil membuat laporan polis membabitkan kedua-dua mangsa.

“Suspek ditahan kira-kira jam 5.30 petang pada Isnin dan kini direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing juga didapati negatif dadah,” katanya.

Artikel Berkaitan:


Lagi kes cabul

JOHOR BAHRU – Keengganan dua beradik menaiki van sekolah seperti kebiasaan membawa kepada pembongkaran perbuatan cabul oleh pemandu kenderaan tersebut terhadap mereka di Permas Jaya, di sini.

Kedua-dua mangsa, masing-masing berusia lapan dan sembilan tahun, dipercayai menjadi mangsa amang seksual oleh suspek ketika dalam perjalanan ke sekolah. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, kira-kira jam 11.15 pagi pada Isnin.

“Susulan laporan itu, seorang lelaki berusia 42 tahun yang merupakan pemandu van sekolah telah ditahan di rumahnya di kawasan Plentong pada jam 9.50 malam Isnin.

“Siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan itu terhadap dua beradik terbabit di dalam van sekolah di tepi jalan pada Khamis lalu dengan menyentuh bahagian kemaluan mangsa,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Selasa.

Menurut Raub, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan keputusan saringan air kencing juga didapati negatif.

Beliau berkata, pemeriksaan perubatan ke atas mangsa mengesahkan tiada kecederaan fizikal dikesan.

Tambahnya, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret pagi tadi untuk permohonan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Mahkamah membenarkan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Isnin depan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!