Seludup bahan kimia di KLIA: SPRM rekod keterangan 24 individu

SPRM kini sedang mengenal pasti isu kelemahan tata kelola yang menyebabkan barangan berbahaya berkenaan mudah dibawa masuk.
SPRM kini sedang mengenal pasti isu kelemahan tata kelola yang menyebabkan barangan berbahaya berkenaan mudah dibawa masuk.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam percakapan seramai 24 individu bagi membantu siasatan isu penyeludupan barang berbahaya menerusi kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang disyaki mempunyai unsur rasuah.

Menurut sumber, kesemua mereka terdiri daripada pekerja tiga buah syarikat selain pegawai serta kakitangan daripada tiga agensi penguatkuasaan di KLIA.

"Siasatan dijalankan berikutan kegiatan membawa masuk barang berbahaya berkenaan yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP), meletakkan kawasan KLIA terdedah kepada isu ancaman keselamatan.

"Berdasarkan siasatan awal, barangan berbahaya iaitu bahan kimia ini dibawa masuk dengan diikrarkan sebagai produk aksesori atau isi rumah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Idris Zaharudin ketika dihubungi berkata, SPRM kini sedang mengenal pasti isu kelemahan tata kelola yang menyebabkan barangan berbahaya berkenaan mudah dibawa masuk.

Katanya, satu kertas siasatan tatakelola turut dibuka oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) bagi melihat aspek kelemahan tata kelola, pentadbiran pengurusan dan penguatkuasaan.

April lalu, Sinar Harian melaporkan SPRM menerima satu maklumat pada awal tahun ini berkaitan isu penyeludupan barangan berbahaya termasuk bahan kimia menerusi kargo di KLIA yang dipercayai mempunyai unsur rasuah.

Kegiatan penyeludupan barangan berkenaan yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) meletakkan kawasan KLIA terdedah kepada isu ancaman keselamatan terutama kejadian dua kebakaran yang berlaku pada tahun 2024.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!